PERUNDING UNIT AMANAH PUBLIC MUTUAL BERHAD

dsc_0015.JPG

HAJI MANAN BIN HAJI MOHD. SAAD

NO. H/P : 019-242 8118

PEJABAT : 03-9101 4908

EMAIL : manansaad@yahoo.com

PELABUR BIJAK….

PELABURAN BIJAK: Belajar dulu pengetahuan, sesal kemudian tiada gunanya Ramai orang berpandangan bahawa hanya orang kaya sahaja yang boleh melabur. Kita seringkali mendengar orang berkata: “Apa gunanya melabur jika kita tak ada banyak wang untuk dilaburkan?” Adakah tanggapan ini tepat? Sebenarnya, tanggapan itu adalah tidak benar. Ini kerana anda akan menjadi seorang pelabur sebaik sahaja melaburkan wang (walaupun setakat RM10) ke dalam sesuatu aktiviti atau perkongsian dengan tujuan untuk mendapat lebih banyak wang. Keduanya, orang biasa juga mempunyai peluang memperoleh keuntungan jika kita mengamalkan sikap yang betul dan pendekatan yang bijak dalam pelaburan.

Menurut Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC), iaitu cabang latihan dan pendidikan bagi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Pelaburan Bijak adalah mengenai “membuat keputusan dengan wajar untuk melaburkan sejumlah wang yang telah ditetapkan ke dalam produk pelaburan atau aktiviti yang telah dipertimbangkan secara teliti”.

Selain itu, Pelaburan bijak juga memerlukan “seseorang itu untuk memantau prestasi pelaburannya untuk melindungi pelaburan tersebut, dengan harapan untuk mendapatkan pulangan yang dikehendaki dalam jangka masa tertentu”.

Tidak dapat dinafikan bahawa asas pelaburan adalah sangat penting dan merupakan pengetahuan yang cukup bernilai. Ikuti pengalaman sebenar tujuh orang berikut untuk mendapatkan pengajaran berharga berkenaan pelaburan :i.

1. Jangan mudah percaya apabila ia melibatkan wang

“Dalam hidup saya, saya telah ditipu oleh rakan kongsi perniagaan, syarikat pemasaran pelbagai tingkat (multilevel marketing) yang akaunnya telah dibekukan, dan juga oleh syarikat insurans. Kesilapan saya ialah saya terlalu mempercayai orang lain dengan wang saya. Kini, saya hidup hanya dengan wang pencen bulanan saya.” – Aminah, 61, guru pencen.

2. Buat penyelidikan apabila melabur

“Saya mengalami kerugian dalam saham yang saya warisi. Pengalaman ini mengajar saya bahawa setiap pelabur perlu mendidik diri sendiri. Ini boleh dilakukan dengan membaca, melakukan sendiri pencarian fakta, bertanya dengan pakar pelaburan atau menghadiri kursus atau latihan pelaburan.” – Hasrul, 30, pengurus.

3. Jangan meminjam wang untuk melabur

“Saya pernah membuat pinjaman untuk menyertai skim opsyen saham pekerja. Apabila pasaran merudum pada tahun 1997, saya menghadapi masalah kewangan yang serius. Itulah masa yang paling sukar bagi saya. Saya hampir membunuh diri. Jika anda mahu membuat pinjaman untuk melabur, pastikan yang anda masih boleh membayar hutang jika pelaburan itu mengalami kerugian.” – Jass, 32, juru runding kanan.

4. Mulakan pelaburan secara kecil-kecilan

“Pelaburan pertama saya ialah pada usia 12 tahun apabila ibu bapa saya membuka akaun unit amanah untuk saya. Secara peribadi, saya membuat pelaburan pertama baru-baru ini dalam jumlah yang kecil dalam dana terimbang yang memberikan pulangan sederhana. Saya belum lagi melabur dalam saham kerana masih banyak lagi yang perlu saya pelajari.” – Dasrul, 26, juru runding.

5. Jangan terburu-buru

“Pada tahun 1993, saya baru sahaja menamatkan pengajian di universiti dan begitu ghairah menyertai pasaran yang melonjak naik untuk mendapatkan keuntungan segera. Saya dapat untung beberapa kali, dan saya terus meningkatkan pelaburan. Apabila pasaran merudum pada tahun 1997, saya mengalami kerugian besar. Saya mengambil masa agak lama untuk menimbangkan semula samada untuk melabur dalam pasaran saham. Kali ini, saya akan tumpukan perhatian terhadap syarikat yang saya arif dan faham sahaja,” – Douglas, 35, Ketua Pegawai Operasi syarikat harta tanah.

6. Belajar daripada kesilapan

“Saya melabur dalam saham, dana unit amanah dan harta tanah. Sama macam orang lain, saya pernah mengalami kerugian tetapi saya menerimanya sebagai asam garam pelaburan. Lebih baik belajar daripada kesilapan daripada rasa menyesal.” – Sue Lynn, 48, pensyarah.

7. Sentiasa mengemaskinikan pengetahuan

“Kebanyakan pelaburan saya adalah dalam pasaran saham. Saya sentiasa memastikan supaya saya mengemaskinikan pengetahuan dan memantau pergerakan saham-saham saya. Jika saham saya tidak menunjukkan prestasi baik sebagaimana yang diharapkan, saya akan memutuskan sama ada hendak terus memegang saham itu atau menghentikan sahaja kerugian yang dialami selepas menilai potensi syarikat tersebut. Saya seorang yang tegas dalam membuat keputusan. Lagi pun, ini membabitkan wang saya.” – Rachael, 32, pengarah syarikat.

Daripada kenyataan di atas, dapat dilihat bahawa individu yang mengalami kerugian paling teruk biasanya ialah mereka yang bersikap sambil lewa terhadap pelaburan mereka. Sebaliknya, mereka yang berhati-hati, cuba meminimumkan kerugian belajar daripada kesilapan dan teliti dalam memantau pelaburan, adalah mereka yang berupaya untuk meneruskan pelaburan dengan jayanya

Justeru, sesiapa sahaja – tanpa mengira usia, tahap pendidikan, profesion atau tahap pendapatan – boleh menjadi pelabur bijak melalui daya usaha yang betul. Anda juga boleh menjadi salah seorang daripadanya. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bagaimana menjadi pelabur bijak, pastikan anda terus mengikuti siri artikel ini.

Artikel yang akan datang - Perancangan Kewangan: Mudah dan Senang

Sepuluh Tabiat Mudah Menabung

 Apakah sukar untuk mengamalkan tabiat baik menabung? Sebenarnya tidaklah terlalu susah, malah amat mudah! Orang Ringgit kami menemu bual beberapa orang untuk mendapatkan panduan yang baik mengenai tabiat menabung dan panduan itu ingin dikongsi bersama di sini.

#1: Berhenti merokok
“Saya berhenti merokok sejak pengumuman harga baru rokok. Saya berjaya menjimatkan RM20 seminggu.”
–Mohammed, Pengawal Kredit. Umur: 28

Orang Ringgit: Usia lebih panjang dan dapat menjimatkan RM1,040 setahun!

#2: Bawa bekalan ke tempat kerja
“Biasanya saya bawa bekalan makan tengah hari ke tempat kerja tiga kali seminggu. Saya dapat berjimat kira-kira RM30 seminggu.”
–Soh Guat Ha, Akauntan. Umur: 36

Orang Ringgit: Bawa bekalan makan tengah hari dari rumah dan anda boleh menyimpan RM1,560 di bank tahun depan!

#3: Cuci kereta sendiri
“Mengapa hantar kereta untuk dicuci jika anda ada masa untuk melakukannya sendiri pada hujung minggu? Pengusaha tempat cuci kereta mengenakan bayaran RM9 sekali cuci – ini bermakna anda boleh menjimatkan RM36 sebulan dengan mencuci sendiri kereta anda. Kerja mencuci itu pun satu riadah juga dan untuk senaman yang lebih baik lagi, cubalah kilatkan sendiri kereta.”
–Khairi, Eksekutif Pembangunan Perniagaan. Umur: 26

Orang Ringgit: Mencuci dan mengilatkan sendiri kereta anda membolehkan anda menabung RM1,872 setahun yang lama kelamaan menjadi lebih banyak.

#4: Beriadah di rumah
“Saya telah membatalkan keahlian saya di sebuah kelab kesihatan. Saya jarang pergi ke sana untuk beriadah. Saya sudah mula bersenam di rumah. Sebagai sebahagian daripada kegiatan riadah, saya berjalan di sekitar kawasan perumahan saya selama 30 minit sehari. Jumlah yang dapat dijimatkan? RM180 sebulan.”
–Mahinder Kaur, Juruteknik IT. Umur: 25

Orang Ringgit: RM180 sebulan selama 12 bulan – akaun simpanan anda bertambah kukuh dalam masa setahun. Anda akan ada RM2,160 dalam akaun itu.

#5: Bayar bil kredit kad pada masanya
“Sentiasa bayar kad kredit anda pada masanya untuk mengelakkan membayar denda RM5 kerana pembayaran lewat. Kalau boleh, selesaikan baki kad kredit secepat mungkin untuk mengelakkan caj faedah yang tinggi.”
–Ahmad Kamal, Pengatur cara. Umur: 23

Orang Ringgit: Siapa cepat dia dapat. Membayar bil pada masanya dapat menjimatkan RM60 setahun.

#6: Ajar anak anda sendiri
“Saya mempunyai tiga orang anak yang sedang bersekolah, berusia antara tujuh hingga 11 tahun. Saya ajar mereka sendiri daripada menghantar mereka ke pusat tuisyen. Saya dapat jimatkan kira-kira RM360 sebulan.”
–Puan Kannan, penulis bebas. Umur: 42

Orang Ringgit: Sambil menyelam minum air. Ajar anak anda sambil habiskan masa berkualiti bersama mereka dan anda dapat menabung RM4,320 setahun untuk perbelanjaan mereka di kolej nanti.

#7: Lepak di gerai “teh tarik” daripada di restoran yang mahal
“Dulu saya dan kawan-kawan saya suka melepak di restoran yang trendy pada hujung minggu dan kami menghabiskan hampir RM50 setiap minggu. Sekarang, kami lepak di gerai teh tarik dan membelanjakan hanya RM10 seminggu.
–Sofiana, pelajar. Umur: 18

Orang Ringgit: Belilah barangan tempatan dan jimatkan RM2,080 setahun.

#8: Kurangkan penggunaan elektrik
“Keluarga saya sentiasa cuba mengurangkan penggunaan elektrik di rumah kami. Kami gunakan jangka masa untuk alat hawa dingin dan matikan lampu dan barangan elektrik jika tidak digunakan. Kami berjaya mengurangkan bil elektrik daripada RM230 kepada RM120 sebulan.”
–Puan Cheah, suri rumah. Umur: 47

Orang Ringgit: Gunakan bahan tenaga dengan lebih cekap dan tambah simpanan anda kepada RM1,320 setahun.

#9: Rancang pembelian barangan dapur
“Apabila saya membeli barangan dapur, saya sentiasa berbelanja melebihi jumlah yang diperuntukkan dengan membeli keropok, minuman dalam tin dan gula-gula. Tahun ini, saya berusaha untuk mengikut senarai yang saya buat dan berjaya menjimatkan RM80 sebulan.”
–Dina, penjual bunga. Umur: 33

Orang Ringgit: Ikut senarai beli-belah yang anda buat dan jimatkan RM960 setahun.

#10: Jelaskan bil anda menggunakan kemudahan dalam talian
“Saya bayar hampir kesemua bil saya menggunakan kemudahan Internet. Saya dapat menjimatkan RM5 duit pos, RM65 bayaran letak kereta dan minyak sebulan.”
–Rajesh Nair, Jurutera Perisian. Umur: 28

Orang Ringgit: Gunakan kemudahan membayar bil dalam talian dan jimatkan RM840 setahun. Tetapi berhati-hati ketika menggunakan Internet.

Mengurangkan perbelanjaan boleh membantu meningkatkan tabungan anda. Mulakan berdikit-dikit dan bersabarlah. Berikan masa selama 12 bulan dan lihatlah hasilnya. Ketika itu nanti, anda akan memiliki simpanan yang cukup untuk melabur di pasaran modal!

Peraturan 72 - Masa Untuk Menggandakan WANG anda…

Menggandakan Wang …. Atau Hutang Anda?

Artikel ini memberikan cara mudah yang biasa untuk mengira berapa cepat pelaburan anda boleh berkembang. Jika anda menyimpan RM1,000 dalam simpanan tetap hari ini dan memperoleh pulangan 3% setahun, adakah anda tahu berapa lama masa diambil untuk menggandakan wang anda? Sebelum anda bergelut-gelut mencari kalkulator, biarlah diberikan jawapannya di sini iaitu 24 tahun. Bagaimana angka itu diperoleh hanya dalam masa beberapa saat? Mudah sahaja, dengan membahagikan 72 dengan tiga (kadar faedah). Ya, 24 tahun ialah masa yang diambil untuk RM1,000 berganda menjadi RM2,000 (dengan andaian tiada sebarang deposit lain dibuat dalam tempoh masa itu).

Peraturan 72

“Peraturan72” ialah cara biasa yang boleh membantu pelabur mengira masa yang diambil untuk menggandakan wang mereka, dengan satu kadar faedah atau pulangan, sekiranya pelabur itu tidak menambah lagi pelaburannya dalam tempoh masa itu. Ini dinamakan Peraturan 72 kerana pada 10%, wang itu akan berganda setiap 7.2 tahun. Walau bagaimanapun, peraturan ini hanya boleh digunakan bagi membuat anggaran sahaja.

Apa lagi yang boleh menggunakan peraturan ini?

  • Untuk mencari kadar pulangan yang diperlukan untuk menggandakan portfolio pelaburan anda

Bahagikan 72 dengan jumlah tahun yang anda mahukan bagi wang anda berganda. Contohnya, jika anda mahu wang anda berganda dalam masa 10 tahun, anda memerlukan pulangan konsisten sebanyak 7.2% setahun daripada pelaburan anda.

Pengiraan: 72/X tahun = Y (% pulangan)
  • Untuk mengetahui berapa cepat hutang-hutang anda boleh berganda, terutama dengan kadar faedah yang tinggi

Jika anda meminjam RM10,000 pada kadar faedah 12%, hutang anda mengambil masa enam tahun untuk berganda menjadi RM20,000, sekiranya anda tidak membuat sebarang bayaran. Jadi, bayarlah hutang kad kredit anda sekarang!

Pengiraan: 72/Y (kadar faedah) = X tahun

  • Untuk menunjukkan kadar inflasi boleh menurunkan separuh daripada kuasa belian anda

Bagi mereka yang masih gemar menyimpan wang di bawah tilam, peraturan ini menunjukkan kepada anda bagaimana kadar inflasi boleh menyebabkan nilai wang anda boleh merosot hingga separuh. Misalnya, jika kadar inflasi dianggarkan 2%, wang anda hanya bernilai separuh daripada nilai asalnya dalam tempoh 36 tahun. Jadi, jika anda mempunyai RM1,000 hari ini, wang itu hanya bernilai RM500 dalam tempoh 36 tahun akan datang. Ini, sudah tentu, dengan andaian kadar inflasi kekal sepanjang tempoh tersebut.

Pengiraan: 72/ W (kadar inflasi)

Antara kelemahannya

  • Antara kelemahan pengiraan ini ialah ia tidak mengambil kira sebarang wang tambahan yang anda boleh atau akan laburkan dalam tempoh tersebut.
  • Peraturan itu mengandaikan bahawa pelaburan anda mempunyai cukai tertunggak dan mendapat faedah kompaun.
  • Peraturan ini terpakai bagi anggaran sahaja dan bukan untuk pengiraan tepat.

Peraturan 72 adalah cara cepat untuk meramalkan berapa pantas wang atau hutang anda berkembang, berapa banyak pulangan yang anda perlukan untuk memperoleh atau mencapai matlamat kewangan anda dan bagaimana kesan inflasi terhadap tabungan anda.

* Sila ambil perhatian bahawa kadar pulangan, inflasi dan kadar faedah yang disebut dalam artikel ini hanyalah sebagai contoh sahaja dan tidak dimaksudkan sebagai mewakili sebarang pelaburan tertentu atau menggambarkan sebarang pulangan terjamin dsb. Pelabur perlu ingat bahawa nilai pelaburan sebenar mungkin turun naik.

7 Kesilapan Lazim Dalam Menguruskan WANG Anda

“Saya telah bekerja selama 20 tahun tetapi sehingga kini wang simpanan saya hanya sedikit sahaja. Kadangkala, saya tertanya-tanya kemanakah perginya wang saya?”

Puan Chong, Eksekutif

Pernahkah anda mendengar keluhan sebegini? Jika anda bertanya orang di sekeliling anda, besar kemungkinan anda akan berjumpa sekurang-kurangnya seorang yang sependapat dengan Puan Chong.

Jika anda bercadang mengukuhkan kedudukan kewangan, anda mesti mengenalpasti terlebih dahulu kesilapan pengurusan kewangan yang lazim dilakukan agar anda dapat belajar daripadanya.

Kesilapan #1: Gagal Merancang

Jika anda bertanya kepada orang disekeliling anda, pasti anda akan dapati ramai diantara kita yang tidak merancang kewangan. Alasan yang selalu diberikan ialah “Saya sibuk dengan kerja dan keluarga hingga tidak sempat untuk menguruskan kewangan saya”. Sikap acuh tak acuh ini akan menjejaskan kedudukan wang anda, contohnya anda akan selalu membayar cukai yang tinggi, membiarkan pelaburan tidak berkembang dalam tempoh yang lama atau tidak bijak memilih produk-produk pelaburan/kewangan yang sesuai dengan anda. Dengan bebanan kerja yang banyak, ramai diantara kita yang tidak memberi keutamaan kepada pengurusan wang dan membiarkan keadaan menjadi penentunya.

Sebenarnya, walaupun anda hanya tergolong dalam golongan yang berpendapatan sederhana, tabiat MERANCANG KEWANGAN akan membolehkan anda menjadi seorang yang berjaya mengumpul kekayaan di kemudian hari kelak.

Kesilapan #2: Berbelanja Melebihi Kemampuan

Dewasa ini, kita sering berbelanja melebihi kemampuan akibat desakan rakan-rakan dan juga iklan-iklan disekeliling kita. Saban hari iklan-iklan di TV, surat khabar dan kompleks membeli belah banyak mempromosikan gaya hidup yang mewah. Telefon bimbit model terkini, kereta mewah dan juga fesyen terbaru banyak mendorong kita untuk berbelanja diluar daripada kemampuan. Apatah lagi, ramai yang sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk mengikut arus peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman. Akibatnya, ramai diantara kita yang hanya mempunyai baki yang sangat sedikit dalam akaun bank di hujung bulan setelah ditolak pinjaman rumah dan kereta; bayaran kad kredit, bil-bil dan sebagainya.

Kesilapan #3: Berbelanja Menggunakan Kad Kredit

Tabiat beli dulu dan bayar kemudian merupakan perkara biasa dewasa ini. Hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit. Malah, ramai diantara kita yang memiliki lebih daripada satu kad. Walaupun kad kredit merupakan satu kemudahan tetapi ramai orang yang menyalahgunakannya dan menganggap ia adalah suatu alat untuk kita berbelanja dengan sewenang-wenangnya. Tambahan pula, dengan bayaran minima setiap bulan, ramai yang akan berpotensi untuk terus berbelanja. Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minima tersebut, dan tidak menyedari bahawa lama kelamaan ia akan menjadi hutang yang menggunung di kemudian hari. Jika tersilap langkah, tidak mustahil anda juga boleh menjadi muflis akibat tabiat sedemikian. Ini adalah realitinya kerana mengikut laporan kemuflisan (bankruptcy report), peratusan orang yang jatuh muflis sejak kebelakangan ini telah meningkat, terutama sekali dikalangan golongan muda. Oleh itu, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat. Dengan membuat bayaran minimum setiap bulan, anda mungkin boleh terus berbelanja, tetapi anda harus ingat bahawa ia akan menyebabkan anda mengalami kerugian besar di belakang hari.

   Kesilapan #4: Lewat Menabung UntukHari Tua

Ramai diantara kita yang ingin bersara awal. Tetapi untuk memulakan persaraan, kita mesti memastikan yang kita mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara. Walaubagaimanapun, masih ramai diantara kita, terutamanya mereka yang sudah hampir bersara yang masih bergelut untuk mencapai jumlah simpanan yang diperlukan. Sepatutnya, setiap kali gaji naik, simpanan kita turut naik. Apa yang berlaku adalah sebaliknya dimana setiap kali gaji naik, perbelanjaan kita pula yang bertambah, contohnya pengubahsuaian rumah, kereta baru, menjadi ahli kelab tertentu untuk bersaing dengan rakan-rakan dan sebagainya. Perbelanjaan sedemikianlah yang menyebabkan kita sukar menabung untuk hari tua.

Kesilapan #5: Melabur dalam Produk yang Tidak Bersesuaian

Terdapat pelbagai produk pelaburan di pasaran. Untuk memastikan kita melabur dalam produk pelaburan yang menepati profil risiko dan ganjaran yang diinginkan, kita memerlukan ilmu pengetahuan mengenai selok-belok pelaburan. Jangan bergantung kepada kata-kata penasihat kewangan semata-mata kerana ada diantara mereka yang mempunyai agenda tersendiri. Kadangkala ada penasihat kewangan yang tidak bertanggungjawab dan memberikan maklumat yang tidak tepat untuk meningkatkan komisen jualan mereka. Jadi pastikan anda meneliti ciri-ciri sesuatu produk pelaburan tersebut dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur.

Kesilapan #6: Tidak Menabung untuk Waktu Kecemasan

Sesetengah orang beranggapan yang membeli insurans adalah perbuatan yang membazir wang. Tetapi tahukah anda bahawa tanpa insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama sekali jika kita hilang pendapatan/pekerjaan. Keadaan akan menjadi lebih malang jika orang yang hilang pendapatan tersebut merupakan ketua keluarga atau pencari nafkah dalam keluarga. Tanpa insuran atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana dan ketika itu juga agak terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan yang lain dengan kadar segera.

Kesilapan #7: Terlampau Memikirkan Pasal Wang

Perkara diatas membincangkan tentang keperluan merancang kewangan dengan baik. Namun, dalam usaha memupuk tabiat yang baik tersebut, janganlah pula terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa akan perkara-perkara lain yang amat bermakna dalam hidup kita seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan dan taulan. Tanpa perkara ini, hidup anda tidak akan memberi sebarang makna walaupun anda mempunyai wang jutaan ringgit.

Akhir sekali, kita perlu sentiasa mengingatkan diri tentang kepentingan merancang kewangan. Jika kita tidak bersungguh-sungguh dalam membina kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan berpihak kepada kita.

RANCANG KEWANGAN ANDA

SIRI PERANCANGAN KEWANGAN

Ada orang melalui kehidupan tanpa memikirkan langsung mengenai perancangan kewangan. Apa pun objektif kewangan anda, sama ada untuk bercuti atau untuk persediaan pendidikan anak-anak, objektif itu memerlukan perancangan kewangan yang baik. Jika anda gagal merancang, anda merancang untuk gagal. Artikel bersiri ini memperlihatkan kepada anda pelbagai aspek perancangan kewangan.  

Di mana saya boleh melabur?
Walau di mana anda melaburkan wang, dua faktor yang perlu dititikberatkan ialah keselamatan dan perkembangan wang tersebut. Selamat, supaya anda tidak kehilangan wang atau nilai wang anda; dan perkembangannya, supaya wang anda bertambah. Pelajari bagaimana untuk:

menentukan matlamat kewangan dan ketahanan anda menanggung risiko
memilih produk pelaburan di pasaran
membina strategi untuk melabur dalam saham

Menabung Sebagai Persediaan Bersara
– Bahagian 1
Tentu seronok jika dapat bersara awal dan melakukan kegiatan yang memang sudah lama ingin dilakukan. Dengan perancangan kewangan yang teliti, impian persaraan anda boleh menjadi kenyataan. Terlebih dahulu, faktor-faktor yang berikut perlu diambil kira:

bilangan tahun yang ada sebelum bersara
pendapatan yang diingini ketika bersara
menghitung pendapatan bersara yang disesuaikan dengan inflasi

Menabung Sebagai Persediaan Bersara
– Bahagian 2

Bahagian kedua dan akhir artikel ini menerangkan cara untuk mengira jumlah dana yang diperlukan dan berapa banyak tabungan yang diperlukan setiap tahun, supaya dapat mencapai matlamat tabungan untuk persaraan anda. Bahagian ini meliputi:

mengira jumlah dana yang diperlukan ketika bersara
anggaran tabungan yang tersedia ketika bersara
mengira tabungan yang diperlukan untuk persaraan anda.

Celik Kewangan bagi Wanita
Hakikatnya, jangka hayat wanita lebih panjang berbanding lelaki dan biasanya wanita hidup dalam kesempitan selepas bersara kerana kurang persediaan. Lazimnya wanita berpendapat lebih rendah dan wanita juga kurang membuat pelaburan. Ini bermakna wanita mendapat kurang ganjaran pencen dan faedah persaraan. Dalam bicara antara wanita dengan wanita ini, anda akan mempelajari :

di mana wanita boleh mendapat maklumat dan bantuan
cara mengetahui tentang penasihat
cara membuat keputusan berdasarkan maklumat.

Selangkah Ke Arah Perancangan Kewangan
Walaupun dikatakan bahawa perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama, kebanyakan orang masih belum memulakan langkah pertama ke arah perancangan kewangan. Artikel ini menyingkap beberapa konsep asas yang perlu dipegang ketika membuat perancangan kewangan anda iaitu:

Impak inflasi
Pemurataan kos pelaburan
Mencari kombinasi pelaburan yang betul

Pengurusan Risiko Melalui Insurans
Semua orang terdedah kepada risiko. Oleh sebab risiko tidak boleh dihapuskan, cara untuk menghadapinya ialah dengan menguruskannya. Insurans boleh digunakan sebagai instrumen pengurusan risiko. Artikel ini memperkatakan tentang:

Insurans sebagai mekanisme pemindahan risiko
Manfaat insurans
Jenis-jenis insurans

Perancangan Kewangan Apabila Berlaku Kematian
Perancangan kewangan meliputi juga apa yang berlaku terhadap harta apabila berlaku kematian. Jika tidak, anda bukan sahaja mengalami kesedihan, malah dibebani juga oleh masalah kewangan. Artikel ini membincangkan tentang:

membuat wasiat dan pemberian harta melalui wasiat
pewarisan dan pengagihan harta orang Islam
kematian berwasiat, kematian yang tidak berwasiat dan pengagihan harta orang bukan Islam.

Perancangan Kewangan Apabila Berlaku Pemisahan Kehakiman atau Perceraian
Selalu dikatakan bahawa, untuk berkahwin itu mudah, yang sukar ialah selepas berkahwin. Terdapat peruntukan undang-undang sebagai jalan keluar tertentu bagi pasangan yang perkahwinan mereka tidak oleh diselamatkan lagi. Artikel ini memperkatakan mengenai isu-isu kewangan yang berbangkit daripada:

pemisahan kewangan bagi orang bukan Islam
nafkah, pengagihan harta dan harta sepencarian dalam perceraian orang Islam
nafkah dan pengagihan harta dalam perceraian orang bukan Islam

Perancangan Kewangan – Apa itu
Akhir-akhir ini, kita selalu dengar mengenai perkataan “perancangan kewangan” – adakah anda tertanya-tanya apakah maknanya? Untuk mendapatkan maklumat umum mengenai apa yang terkandung dalam perancangan kewangan, sila klik di sini

Panduan Perancangan Kewangan untuk Ibu Tunggal
Artikel ini menggariskan panduan untuk ibu tunggal mengenai pengurusan kewangan yang lebih baik untuk masa depan mereka dan anak-anak mereka. Sila klik di sini untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Petua Mengukuhkan Kedudukan Kewangan Wanita
Jika anda sedang mencari cara untuk mempercepatkan langkah ke arah menikmati kedudukan kewangan yang lebih kukuh dalam tempoh masa lebih singkat, klik sini

Peraturan 72

“Peraturan 72” ialah satu peraturan mudah dan biasa yang boleh membantu pelabur membuat pengiraan cepat berapa pantas pelaburan atau hutang mereka boleh berkembang.

Resolusi Kewangan bagi tahun 2004!

Selamat Tahun Baru! Tibalah masanya untuk membuat resolusi baru. Walau bagaimanapun, jangan lupa memasukkan resolusi kewangan ke dalam senarai resolusi tahun baru anda. Diberikan di sini lapan resolusi kewangan yang boleh diikuti.

Mendidik Anak Mengenai Wang

Mendidik, menggalakkan dan memberikan kuasa kepada anak untuk berbelanja secara bijak daripada usia muda membantu menanamkan tabiat kewangan yang baik. Diberikan di sini enam panduan mudah bagaimana melakukannya.

Jadikan Impian Anda Satu Kenyataan

Ikuti panduan mudah untuk merealisasikan impian anda.

Sepuluh tabiat mudah menabung Tambah tabungan anda tanpa perlu bekerja lebih keras. Panduan berguna daripada 10 orang.

Mabuk berbelanja Adakah anda boleh dikategorikan sebagai mabuk berbelanja? Cuba dapatkan jawapannya di sini.

Masa Untuk Belajar Adakah anda pelabur yang bijak? Adakah anda lain daripada yang lain dan merupakan sebahagian daripada kumpulan pelabur yang istimewa kerana mempunyai pengetahuan yang cukup, tahu hak sebagai pelabur, terlindung daripada skim penipuan dan berusaha untuk mencapai matlamat kewangan?

Anda jenis Pelabur Yang Mana Satu?

Dalam pelaburan, elok jika anda mengetahui diri anda tergolong dalam jenis pelabur yang mana satu. Di sini, Orang Ringgit berkongsi pendapatnya dengan anda.

JENIS UNIT AMANAH

Unit amanah dianggap sebagai instrumen yang baik untuk perancangan kewangan jangka sederhana hingga jangka panjang. Walau bagaimanapun, amat penting anda memilih dana yang sesuai, berdasarkan profil risiko dan objektif pelaburan anda. Berikut ialah senarai jenis unit amanah yang terdapat di pasaran:

Dana pendapatan: Melabur dalam sekuriti pendapatan tetap dan saham yang menghasilkan dividen yang besar dengan harapan akan membayar sebahagian besar daripada pulangan. Sesuai untuk pelabur yang mencari pendapatan dan sedikit pertumbuhan dengan risiko yang rendah.

Dana pertumbuhan modal: Melabur terutama sekali dalam saham dengan harapan akan memaksimumkan pertumbuhan modal dalam jangka masa panjang (iaitu melalui harga unit yang lebih tinggi). Paling diminati oleh pelabur yang suka kepada risiko tinggi dan berminat terhadap pengumpulan modal.

Dana pertumbuhan agresif: Sama dengan dana pertumbuhan modal tetapi pelaburan dibuat dalam saham agresif yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang lebih tinggi. Sesuai untuk pelabur berisiko tinggi.

Dana terimbang: Mempunyai tiga objektif: pendapatan, kenaikan nilai sederhana dan pemeliharaan modal. Pelaburan dibuat dalam pelbagai kategori aset yang merangkumi saham, sekuriti pendapatan tetap dan wang tunai. Kepelbagaian yang baik dan sesuai bagi pelabur yang mencari pelaburan selamat di mana risikonya lebih rendah dan menghasilkan pulangan yang sederhana.

Dana indeks: Melabur dalam sejumlah besar saham yang menjejaki indeks pasaran saham terpilih.

Dana bon: Melabur hanya dalam sekuriti pendapatan tetap seperti bon dan instrumen pasaran wang jangka pendek. Semua dana bon tertakluk kepada risiko kadar faedah dan kebanyakannya tertakluk kepada risiko kredit atau risiko mungkir penerbit sekuriti.

Dana pasaran wang: Melabur hanya dalam instrumen pasaran wang jangka pendek seperti bil perbendaharaan, sijil deposit boleh niaga dan penerimaan jurubank, dengan tempoh kematangan kurang dari 90 hari. Oleh kerana dana dilaburkan dalam instrumen pasaran wang, pulangan yang diterima, walaupun kecil, pada amnya lebih menarik jika dibandingkan dengan deposit simpanan. Sesuai untuk pelabur yang mahu kecairan dalam pelaburan dan menjadi tempat sementara untuk menyimpan dana sebelum melabur dalam dana lain.

Dana Islam: Diuruskan berlandaskan prinsip Syariah; pelaburan dibuat dalam saham dan sekuriti pendapatan tetap dan tidak merangkumi saham tidak halal dan instrumen pasaran wang berfaedah.

Dana negeri: Diuruskan oleh perbadanan pembangunan negeri untuk pelabur dari negeri masing-masing.

Apakah Unit Amanah

Apakah unit amanah?
Unit amanah semakin popular beberapa tahun kebelakangan ini. Ini kerana unit amanah merupakan jalan bagi pelabur kecil untuk meluaskan kepelbagaian pelaburan tanpa perlu had jumlah wang yang dilaburkan. Manfaatnya pula bukan setakat itu sahaja.

Tetapi, apakah unit amanah? Unit amanah merupakan skim pelaburan yang mengumpulkan wang daripada ramai pelabur yang berkongsi matlamat kewangan yang sama. Sebagai pertukaran kepada wang itu, dana menerbitkan unit kepada pelabur yang dikenali sebagai pemegang unit. Pemegang unit boleh menjual semula (iaitu menebus) unit mereka kepada dana, atau membeli (dan menjual) unit seterusnya.

Pengurusan dana
Dana diurus oleh sekumpulan pengurus profesional (dikenali sebagai syarikat unit amanah) yang akan melabur wang yang terkumpul dalam portfolio sekuriti seperti saham, bon dan instrumen pasaran wang atau lain-lain sekuriti yang dibenarkan untuk mencapai objektif dana. Disebabkan jumlah besar wang terkumpul, pengurus dana boleh mempelbagaikan pelaburan dan ini boleh meminimumkan risiko pelaburan.

Pendapatan
Jumlah aset dana menentukan nilai dana dan harga dibayar oleh pemegang unit atau jumlah yang diterima apabila mereka menebus unit. Dana unit amanah memperoleh pendapatan daripada pelbagai pelaburan dalam bentuk dividen, pendapatan faedah dan perolehan modal. Pendapatan ini kemudian diagihkan kepada pemegang saham mengikut nisbah pegangan unit mereka, dalam bentuk dividen atau unit bonus.

Perlindungan untuk pemegang unit
Sebagai pemegang unit, perlindungan anda dalam unit amanah dipastikan melalui cara unit amanah itu dibentuk. Unit amanah sebenarnya satu amanah. Perlindungan terkandung dalam surat ikatan yang menyatakan kewajipan, tanggungjawab dan jangkaan tiga pihak dalam unit amanah iaitu:

Pemegang unit amanah yang memperuntukkan dana untuk pelaburan;
Syarikat unit amanah yang menyediakan pelaburan, perkhidmatan pentadbiran dan pemasaran; dan
Syarikat pemegang amanah yang memegang aset amanah bagi pihak pemegang unit.

Ada tiga sumber maklumat yang perlu anda kaji apabila memilih dana. Sumber tersebut ialah prospektus dana, surat ikatan amanah dan penyata kewangan yang mengandungi laporan tahunan dan interim yang boleh didapati secara percuma untuk semakan di premis pengurus dana.

Baca prospectus
Prospektus merupakan dokumen yang amat penting kerana ia membentangkan matlamat dana, strategi perlaburan dan polisi serta kedudukan ganjaran dan risiko yang diambil. Ia mungkin bahan bacaan yang penuh dengan istilah perundangan, tetapi anda perlu membaca dengan teliti untuk memastikan bahawa matlamat anda sama dengan dana tersebut. Akaun kewangan akan menunjukkan jika dana masih mengikut perancangan dan bagaimana pencapaiannya dalam perancangan tersebut. Bagaimanapun sebagai pelabur, anda perlu mempertimbangkan faktor berikut ketika memilih dana:

Objektif pelaburan - ia perlu dinyatakan dengan jelas, jika tidak pengurus dana berpeluang untuk tidak melaksanakan apa yang anda kehendaki ketika memilih dana tersebut.
Polisi pelaburan - jenis pelaburan dan strategi yang dibenarkan perlulah sama dengan yang anda yakini.
Saiz dana dan aliran pertumbuhan.
Sebarang sekatan pelaburan, seperti pelaburan minimum dikehendaki.
Tahap risiko pelaburannya - unit amanah tidak terlepas daripada risiko sepenuhnya.
Jenis dan jumlah yuran - fahami supaya anda tidak terkejut.
Prestasi lepas jumlah pulangan tahunan, NAV (nilai aset bersih, iaitu nilai bagi setiap unit), nisbah belanja, dan terutama pembahagian pendapatan kepada pelabur, dan pertumbuhan aset - supaya anda boleh mengukur prestasi dana selama ini.
Portfolio pelaburan terkini - supaya anda tahu peratusan pegangan bagi setiap jenis aset.
Maklumat berkenaan Lembaga Pengarah dan kumpulan pengurusan utama (terutamanya pengurus dana, juruaudit dan pemegang amanah).

KWSP Perkenal Perubahan Kadar Caruman Dan Simpanan Asas

Peluang dan pasaran didalam unit amanah semakin besar dan berkembang, Ianya adalah sejajar dengan inspirasi kerajaan untuk membantu ahli KWSP untuk meningkatkan tabungan ahli selepas persaraan.

Kini terpulang kepada ahli KWSP untuk menzahirkan segala perancangan dan inisiatif yang diwujudkan.
Jangan lepaskan peluang untuk meningkatkan tabungan hari tua kita melalui pelaburan UNIT AMANAH.

—–Berikut adalah kenyataan akhbar dari KWSP (bertarikh: 25Jan2008)——

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan dua pembaharuan di bawah inisiatif “Bukan Hanya Simpanan” bagi memberikan peluang kepada ahli berumur 55 tahun dan ke atas terus bekerja serta meningkatkan simpanan persaraan ahli.

Berkuatkuasa 1 Februari 2008, tempoh tanggungan mencarum kepada KWSP untuk pekerja dan majikan dilanjutkan dari umur 55 tahun kepada 75 tahun. Selain itu, ahli perlu mempunyai amaun minimum Simpanan Asas mengikut tahap umur bagi membantu ahli memperoleh simpanan sekurang-kurangnya RM120,000 apabila mencapai umur 55 tahun.

“KWSP sentiasa memberikan keutamaan agar ahli mempunyai simpanan yang mencukupi apabila mereka bersara. KWSP berharap dengan pembaharuan ini akan membantu ahli mempunyai jumlah simpanan yang lebih tinggi bagi persaraan yang lebih terjamin,” kata Encik Ibrahim Taib, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP.

Untuk pekerja berumur 55 tahun dan ke atas diwajibkan mencarum tetapi kadarnya adalah separuh daripada kadar caruman berkanun bagi menggalakkan ahli terus diambil bekerja. Bagaimanapun, pekerja dan majikan boleh memilih untuk mencarum lebih daripada kadar caruman berkanun yang ditetapkan.

Bagaimanapun, kadar caruman yang lebih rendah ini tidak terpakai kepada pekerja yang telah berumur lebih 55 tahun yang kini masih bekerja dan belum membuat Pengeluaran 55 Tahun. Pekerja ini dan majikannya perlu mencarum pada kadar semasa (23 peratus) sehingga Pengeluaran 55 Tahun dibuat.

Satu lagi pembaharuan di bawah inisiatif “Bukan Hanya Simpanan” adalah pelaksanaan Simpanan Asas iaitu sejumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan minimum RM120,000 ketika umur 55 tahun (Lihat Lampiran).

Dengan pembaharuan ini, ahli dibenarkan melabur tidak lebih dari 20 peratus daripada simpanan dalam Akaun 1 yang melebihi Simpanan Asas menerusi institusi pelaburan yang diluluskan. Pelaburan ini boleh dibuat sekali setiap tiga bulan dengan jumlah minimum RM1,000.

“Objektif pembaharuan ini adalah untuk membantu ahli meningkatkan simpanan asas dalam akaun mereka secara berterusan sehingga mencapai jumlah minimum RM120,000 pada umur 55 tahun. Ini bagi membolehkan ahli menerima bayaran sekurang-kurangnya RM500 sebulan untuk tempoh 20 tahun sehingga umur 75 tahun iaitu purata jangka hayat rakyat Malaysia,” kata Encik Ibrahim.

Menurut beliau, pada masa yang sama pembaharuan ini memberikan peluang kepada ahli untuk melabur pada umur lebih muda yang boleh mengurangkan risiko kerugian modal berikutan tempoh pelaburan yang lebih panjang.

“Jumlah Simpanan Asas untuk setiap peringkat umur akan dikaji semula setiap lima tahun dengan mengambil kira perubahan sosial, ekonomi dan keperluan persaraan ahli,” kata beliau.

Tarikh : 25 Januari 2008

Penstrukturan semula pelaburan ahli (EPF)

According to pihak EPF, bermula pada Februari 2008 , new regulation dan calculation akan dilakukan pada account 1 pencarum bagi memberi peluang pencarum membuat pelaburan di usia muda dan sekaligus dapat menambah jumlah tabungan account 1 masing masing selepas persaraan nanti.

Kalau semuanya berjalan dengan lancar,bermula pada pelaburan berdasarkan kepada figure seperti berikut.

25-29 tahun ; simpanan asas rm9,000

30-34 tahun ; simpanan asas rm18,0000

35-39 tahun ; simpanan asas rm29,000

40-44 tahun ; simpanan asas rm44,000

45-49 tahun ; simpanan asas rm64,000

50-54 tahun ; simpanan asas rm90,000

55 tahun ; simpanan asas rm120,000

PENGIRAANYA BEGINI;

Katakan
Anda berumur 27 tahun…so basic saving dalam acc 1 epf anda mesti 9k
dan jika Account 1 u all ada sebanyak 17 ribu.

Jumlah amount yang anda layak melabur utk pelaburan pertama anda ialah

rm17 ribu - rm9 ribu, = rm8 ribu. ..rm8 ribu x 20 % ialah rm1.6K..
so first investment u all adalah rm1600

* Skim EPF, anda boleh membuat pelaburan setiap 3 bulan sekali.

KELEBIHAN MELABUR DALAM UNIT AMANAH

   Kelebihan melabur dalam unit amanah:

Mengikut kemampuan
Ini merupakan kelebihan yang nyata sekali - tidak banyak kos diperlukan untuk melabur dalam dana amanah. Bagi pelaburan permulaan serendah RM1000, pelabur boleh membeli dana dan mendapat:

a)Kepelbagaian segera
Pelabur dalam unit amanah berpeluang menyertai lebih banyak sekuriti berbanding dengan pelaburan yang dibuat secara persendirian. Dana drp peserta runcit akan dikumpulkan untuk menjadikan modal yang lebih besar dan boleh digunakan untuk membeli saham lebih banyak.

Risiko boleh dikurangkan dengan kepelbagaian. Kerugian di beberapa kaunter boleh diimbangi oleh keuntungan diperoleh di kaunter lain. Pelabur boleh terus mengurangkan risikonya dengan melabur dalam beberapa dana dan tidak terhad kepada satu dana sahaja.

b)Mudah tunai
Pembelian dan penjualan unit amanah lebih mudah berbanding melabur terus dalam saham sesebuah syarikat di mana harga dan peluang untuk membuat urus niaga bergantung kepada penawaran dan permintaan saham pada masa itu.

c)Pengurusan profesional yang berterusan
Unit amanah diuruskan oleh kumpulan profesional. Pengurusan dana secara teratur dan berdasarkan fakta berbanding pelabur individu yang mungkin membuat pelaburan secara rambang. Keputusan pelaburan yang diambil oleh pengurus dana dibuat berdasarkan penyelidikan meluas dan kemahiran serta pengetahuan mereka yang mendalam didalam bidang ini.Pengawasan portfolio pelaburan dibuat secara berterusan berdasarkan maklumat yang telah diselidiki.

d)Peluang memiliki aset kewangan lebih meluas
Pengurus dana unit amanah boleh menjual beli produk pelaburan yang biasanya tidak berpeluang didekati oleh pelabur individu, seperti bon kerajaan dan bon korporat, yang mungkin dihadkan kepada pelabur institusi sahaja. Sebahagian daripada produk ini diniagakan dalam jumlah besar, dan ini mengehadkan kemampuan pelabur individu walaupun mereka diberikan peluang tersebut.

Kekurangan melabur dalam unit amanah:

a)Tertakluk kepada risiko pasaran
Memandangkan unit amanah melabur dalam sekuriti boleh pasar, sudah tentu ia terdedah kepada pergerakan pasaran. Pempelbagaian dalam pelaburan boleh membantu mengurangkan risiko tetapi tidak dapat menghapuskan terus risiko. Harga unit amanah turun naik, dividen mungkin dibayar ataupun tidak, dan anda mungkin mendapat untung atau rugi apabila menjual unit itu.

b)Tidak sesuai bagi pelaburan jangka pendek
Unit amanah merupakan jentera pelaburan yang sesuai bagi pelaburan jangka sederhana hingga panjang. Ini kerana keuntungan daripada pelaburan dalam unit amanah tidak diperoleh segera. Seseorang boleh menjual unit yang dipegang apabila harga unit itu naik. Walau bagaimanapun, kenaikan harga, yang bergantung kepada pergerakan harga pasaran, biasanya lebih perlahan daripada pergerakan pasaran.

Kesan pempelbagaian berlaku secara dua hala iaitu risiko tertebar apabila pasaran mengalami kejatuhan, begitu juga ganjaran apabila pasaran meningkat. Dividen bagi unit amanah diberi secara berkala dan kesan pengkompaunan hanya dirasai dalam masa apabila keadaan ekonomi yang menguntungkan.

c)Tiada kawalan keatas pelaburan
Pelabur unit amanah membeli instrumen pelaburan besar-besaran, oleh itu mereka tidak mempunyai kawalan terhadap keputusan pelaburan yang dibuat oleh pengurus dana. Mereka tidak boleh memberitahu pengurus apakah saham yang hendak dibeli atau yang mana jangan dibeli, dan bila hendak dijual. Pengurus dana bertindak mengikut penasihatnya sendiri, bukannya pelabur. Pelabur hanya boleh memastikan bahawa objektif dan polisi pelaburan dana selaras dengan objektif mereka. Oleh itu, penting para pelabur membaca prospektus pelaburan secara teliti dan memilih pelaburan secara bijak.